PRN Sabah: Kempen bermula, calon ligat dekati pengundi
Bernama
September 12, 2020 19:19 MYT
September 12, 2020 19:19 MYT
Usai semboyan dibunyikan, parti-parti politik terus memulakan kempen bagi memikat pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bermula hari ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 447 calon daripada 17 parti termasuk Bebas, layak bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memikat hati 1.12 juta pengundi.
Jadual padat dikongsikan kepada pengamal media bagi tujuan liputan calon membabitkan sesi bertemu rakyat, ceramah dan program-program lain ke dalam diari harian mereka.
Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mempertahankan kerusi DUN Senallang, memulakan kempen pilihan raya sambil ditemani isteri Datin Seri Shuryani Shuaib dengan menyantuni penduduk kampung di Pulau Bum Bum.
Lengkap berkemeja putih dan topi logo Warisan, Mohd Shafie tenang bertanyakan khabar sambil mendengar keluh-kesah serta harapan penduduk kawasan itu.
Calon DUN Sulaman yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Hajiji Noor yang lengkap memakai sepersalinan baju Melayu warna merah, memulakan kempennya dengan bertemu dan bertegur sapa dengan pengundi di pusat komuniti masyarakat dan mengambil gambar bersama penduduk setempat kawasannya.
Sementara itu, calon DUN Kiulu yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai pula mendekati penduduk kampung di kawasan tersebut termasuk menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dalam pematuhan operasi standard prosedur (SOP) COVID-19.
Turut mencuri tumpuan adalah kelibat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendekati penduduk di DUN Kukusan termasuk aktiviti santai bersama Pemuda UMNO serta ceramah pilihan raya dalam usaha menguatkan sokongan di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, hujan lebat yang membasahi kawasan Putatan petang ini tidak menghalang calon Barisan Nasional (BN) di DUN Tanjung Keramat, Ir Shahelmey Yahya, yang memakai pakaian parti berwarna biru, mendekati pengundi di sekitar kawasan berkenaan sambil ditemani Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi.
DAP yang bertanding menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) pada PRN ini tidak kurang hebatnya apabila berkempen mendekati pengundi di beberapa kawasan tumpuan yang telah dikenal pasti membabitkan kawasan perniagaan, pusat keagamaan dan tumpuan orang ramai.
Calon DUN Moyog yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking antara figura penting menyantuni rakyat selain kepimpinan tertinggi parti seperti Naib Ketua Kebangsaan Wanita Kebangsaan Hannah Yeoh dan Penolong Setiausaha Kebangsaan Wanita Kebangsaan Young Syefura Othman.
Calon Parti Cinta Sabah (PCS) bagi DUN Tanjung Keramat, Ira Elza Uzair, seorang akauntan berkelulusan dari United Kingdom, pula menggunakan video khas yang dikongsikan kepada pengundi kawasan dengan mesej utamanya 'ubah hala politik dan kepimpinan ke arah pro-rakyat' sebagai agenda utamanya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bermula hari ini dengan penamaan calon selama sejam bermula 9 pagi.
PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lepas, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#Hajiji
#kempen
#Ketua Menteri
#KJ
#Mohd Shafie Apdal
#Musa Aman
#PRN Sabah
#Sabah Memilih
#Senallang
#SPR
#tempoh berkempen