PRN Sabah: "Kekalahan PCS perlu dijadikan iktibar" - Anifah Aman
Hasimi Muhamad
September 27, 2020 15:16 MYT
September 27, 2020 15:16 MYT
KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) berharap kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijadikan iktibar kepada calon-calon parti tersebut untuk berdepan dengan pilihan raya akan datang.
Presidennnya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, walaupun kemenangan tidak menyebelahi PCS, namun pihaknya tetap berbangga dengan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh rakyat Sabah.
“Anak-anak Sabah telah bersuara dan suara itu kami terima dengan rasa rendah hati dan kami hormati.
“Namun, jangan lupa kita hanya sebuah parti yang sangat baharu, tidak sampai dua bulan. Kita masih mendapat sokongan dalam bentuk undi walaupun tidak menang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Luar itu berkata, beliau percaya PCS mampu meraih lebih sokongan sekiranya mereka mempunyai masa yang cukup.
“Bagaimanapun, saya sebagai Presiden PCS berharap, walau apa pun terjadi, jangan berhenti daripada terus memperjuangkan hak-hak anda sebagai anak Sabah.
“Nombor yang kecil, tetapi cukup untuk sebuah parti baharu dalam perjuangan yang panjang,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan PCS akan terus bersama dalam memperjuangkan kebajikan rakyat di negeri itu.
#GRS menang
#PRN Sabah
#Pilihan Raya Negeri Sabah
#Anifah Aman
#Parti Cinta Sabah
#Warisan Plus
#Pilihan Sabah
#Politik Sabah