PRN Sabah: Jentera UMNO, BN digesa tingkat kesiapsiagaan - Bung Moktar

Bernama
September 12, 2024 15:17 MYT
Bung Moktar berkata beberapa penambahbaikan perlu dilakukan meskipun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berakhir pada penghujung Disember tahun depan. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa jentera parti itu dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Beliau berkata beberapa penambahbaikan perlu dilakukan meskipun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berakhir pada penghujung Disember tahun depan.
"Walaupun laporan hasil pemeriksaan di setiap bahagian menunjukkan kesiapsiagaan peringkat akar umbi memuaskan, ia perlu dipertingkatkan sebelum PRN diadakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata usaha untuk mengemas kini jumlah ahli UMNO di setiap cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sabah perlu dilaksanakan segera, termasuk jumlah pengundi lain.
Selain itu, beliau berkata pembentukan jawatankuasa di peringkat PDM juga perlu dilakukan lebih awal dan dikemas kini bagi memastikan ia dapat digerakkan sepenuhnya dalam menghadapi pilihan raya tersebut.
Dalam pada itu, Bung Moktar mahu semua UMNO bahagian di Sabah meneruskan program menyantuni akar umbi, selain membantu penduduk memerlukan bantuan. Ini juga termasuk meninjau isu pembangunan yang menjadi masalah kepada rakyat agar dapat disuarakan kepada pihak berkaitan.
"Saya berharap bahagian sayap utama Wanita, Pemuda dan Puteri perlu berjalan seiring dalam melaksanakan program-program diadakan. Ini bermaksud mereka perlu mengamalkan budaya kerja berpasukan bagi memastikan kekuatan parti terjamin," tegasnya.
-- BERNAMA
#PRN Sabah #Bung Moktar Radin #UMNO Sabah #jentera parti
;