PRN Sabah: Dua kajian beri dapatan berbeza mengenai faktor calon
Khairunnisa Kasnoon
September 25, 2020 19:21 MYT
September 25, 2020 19:21 MYT
Pengundi Sabah menjadikan faktor calon sebagai faktor utama semasa membuat pertimbangan pembuangan undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung Sabtu ini.
Menurut Kajian ILHAM Centre yang diterbitkan pada Jumaat, pertimbangan ini menjadi dominan berikutan pertembungan banyak penjuru yang mengelirukan pengundi.
"Responden yang ditemui menyatakan penilaian mereka terhadap calon melibatkan sumbangan dan khidmat calon sebelum ini, kaitan dengan hubungan kekeluargaan, prestasi dan keberadaan calon di kawasan mereka terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kekuatan personaliti calon tersebut," jelas laporan itu.
Bagaimanapun bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bandar seperti di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, pengundi melihat faktor parti selain faktor isu.
PRN kali ini juga menjadi meriah apabila 56 calon Bebas masuk bertanding.
Laporan itu percaya, calon-calon Bebas juga mempunyai gerakan yang mampu menggugat calon yang diwakili parti politik.
Laporan itu turut menggariskan tiga isu utama yang mendominasi naratif calon-calon bertanding.
Pertama, kesan COVID-19 terhadap kehidupan dan ekonomi rakyat, kedua ialah isu cara pentadbiran Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sepanjang menjadi Ketua Menteri dan ketiga, isu pendatang asing tanpa izin (PATI).
Sementara itu, kajian Pemerkasaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS) menerusi kajian berbeza menunjukkan lebih separuh pengundi membuat pertimbangan berdasarkan parti.
Laporan yang diterbitkan pada Jumaat itu menyatakan, 51 peratus responden lebih cenderung memilih parti sementara 49 peratus responden mahu membuat pertimbangan mereka berdasarkan faktor calon.
Bagaimanapun, jika dilihat berdasarkan kumpulan umur responden, golongan muda Sabah lebih cenderung untuk mengundi berdasarkan faktor calon.
Ia meletakkan 57.3 peratus dalam responden muda membuat pertimbangan mereka berdasarkan faktor calon berbanding hanya 42.7 yang mengundi berdasarkan faktor parti.
"Golongan muda lebih pragmatik dengan lebih banyak fokus diberikan dalam pemilihan calon," jelas laporan itu lagi.
#ILHAM Centre
#Kajian ILHAM Centre
#Muhyiddin Yassin
#pilihan raya negeri
#Politik Sabah
#PRN Sabah
#Sabah
#Sabah Memilih
#SEEDS
#Shafie Apdal
#undi