PRN Sabah: 'Drama' USNO, Presiden mengaku tandatangan dua calon di Bengkoka
Assim Hassan
September 14, 2020 16:59 MYT
September 14, 2020 16:59 MYT
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ibrahim Linggam mengakui ada menandatangani dua borang pencalonan untuk kerusi Bengkoka sekali gus menyaksikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu ditandingi sehingga 11 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ibrahim ketika dihubungi Astro AWANI menjelaskan, berlaku kesilapan teknikal ketika menandatangani borang tersebut, namun apa yang penting masalah itu dianggap sudah selesai.
"Memang pada mulanya saya menandatangani nama Akian Ahkiew untuk calon USNO tetapi terdapat perubahan dengan menggantikannya dengan Omar Jalun.
"Apa yang penting, ini satu kesilapan teknikal dan Omar Jalun mewakili USNO manakala Akian sebagai wakil Bebas," katanya.
Ditanya kenapa beliau tidak menarik balik borang percalonan Akian sebaik sahaja menukar calon kepada Omar, Ibrahim enggan mengulas lanjut.
Sebaliknya, Ibrahim memohon agar perkara itu tidak lagi dipanjangkan.
Difahamkan, beberapa hari sebelum penamaan calon, USNO menamakan Akian Ahkiew sebagai calon di DUN Bengkoka.
Bagaimanapun, pada proses pengumuman calon Sabtu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan Omar Jalun sebagai calon USNO.
Kerusi N02 Bengkoka yang mempunyai 11,543 pemilih berdaftar menjadi perbualan hangat apabila bakal menyaksikan pertandingan 11 penjuru pada PRN Sabah 26 September ini.
Mereka adalah Jose Moosinupu (Parti Cinta Sabah), Dr Samuil Mopun (Parti Bersatu Sabah), Sotijin Juhui (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Rita Cham (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Junsim Rumunzing (Upko), Omar Jalun (USNO) dan Harun Durabi (UMNO).
Tidak ketinggalan Paransol Tiying, Mary Dumpangol @ Aminah Ambrose, Akian Ahkiew dan Maklin Masiau sebagai calon Bebas.
#Akian Ahkiew
#DUN Bengkoka
#Ibrahim Linggam
#Omar Jalun
#Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu
#Pilihan Raya Negeri Sabah
#PRN Sabah
#Sabah Memilih
#USNO