PRN Sabah: Calon wanita perlu diangkat, diketengahkan

Astro Awani
September 10, 2020 14:16 MYT
Haniza Talha berkata, ini kerana wanita mempunyai kemampuan memimpin dan berprestasi tinggi dan tidak seharusnya dipinggirkan.
Wanita perlu diangkat dan diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi memastikan keseimbangan dalam usaha membuat keputusan serta hala tuju negara.
Presiden Nation of Woman (NOW), Haniza Talha berkata, ini kerana wanita mempunyai kemampuan memimpin dan berprestasi tinggi dan tidak seharusnya dipinggirkan.
“Kami difahamkan calon PRN Sabah dalam kalangan wanita adalah kurang daripada 10 peratus. Jika benar, berita ini amat menyedihkan bagi kami kerana wanita merupakan calon yang berkaliber tetapi tidak diberi peluang.
“Adalah satu kesilapan jika ketidakseimbangan gender ini diteruskan. Kami menggesa agar pihak Perikatan Nasional (PN) mengiktiraf peranan wanita dan meletakkan lebih ramai lagi calon wanita demi kebaikan serta kemenangan bersama,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, Haniza berkata, perjuangan wanita tidak harus lagi dianggap tidak penting dan sudah sampai waktunya untuk membuka ruang lebih besar kepada golongan ini.
#Haniza Talha #Nation of Woman #NOW #pembuat keputusan #pilihan raya negeri #Sabah Memilih #wanita
;