PRN Sabah: Calon Ketua Menteri Sabah belum ditentukan - Bung Moktar

Astro Awani
September 26, 2020 22:12 MYT
Bung Moktar berkata, pemilihan calon Ketua Menteri Sabah akan dibincangkan secepat mungkin.
Calon Ketua Menteri Sabah belum ditentukan buat masa ini, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibincangkan secepat mungkin.
“Kita akan berbincang secepat mungkin (mengenai calon Ketua Menteri Sabah)," katanya di sini, selepas mengumumkan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdasarkan keputusan tidak rasmi di Ibu Pejabat UMNO Sabah di sini, pada Sabtu.
Mengulas kemungkinan wujud sebarang isu bagi menentukan calon ketua menteri, kata Bung Moktar, masalah berkenaan boleh timbul jika ia sengaja dicari.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pemilihan Ketua Menteri Sabah akan ditentukan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu dan rakan kongsi politik mereka di Sabah.
Perkara itu katanya akan diputuskan apabila gabungan GRS memperoleh bilangan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
#Astro Awani #Bung Moktar #Gabungan Rakyat Sabah #GRS #keputusan #PRN Sabah #Sabah Memilih #SPR #tidak rasmi #UMNO #Zahid Hamidi
;