PRN Sabah: Calon BN Pitas positif COVID-19

Hakim Rahman
September 26, 2020 14:07 MYT
Calon BN bagi N.03 DUN Pitas, Sufian Abd. Karim mengesahkan beliau positif COVID-19. - Gambar FACEBOOK
Calon Barisan Nasional (BN) bagi N.03 DUN Pitas, Sufian Abd. Karim mengesahkan beliau positif COVID-19 dan memohon individu yang bersamanya mengambil langkah berjaga-jaga.
Dalam hantaran di Facebook, Sufian turut memohon maaf kepada pengundi, petugas, jentera, rakan dan keluarga yang banyak membantunya ketika kempen atas perkara itu.
"Mohon kepada semua yang pernah bersama saya mengambil langkah berjaga-jaga dan sewajarnya dengan membuat saringan.
"Maaf atas segala kesulitan. Semoga ia tidak mematahkan semangat kita dalam perjuangan ini," katanya.
Sebelum ini beberapa ahli politik mengesahkan diri mereka positif COVID-19 antaranya Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii.
BACA: Shahril Hamdan positif COVID-19 selepas pulang dari Sabah
BACA: Ahli MT UMNO dilapor postif COVID-19 selepas berkempen di Sipitang
Mereka merupakan antara pemimpin UMNO yang telah berada di Sabah sejak beberapa hari lepas bagi menyertai Jentera Pilihan Raya BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Antara yang diminta menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat Razlan pula termasuklah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN Annuar Musa.
Kawasan N03 Pitas menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Sufian dengan calon Warisan, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (Usno) dan calon bebas.
Ikuti perkembangan PRN Sabah di sini
LAPOR LANGSUNG: Hari penentuan di Sabah
#Barisan Nasional #koronavirus #pilihan raya #politik #PRN #Sabah #UMNO
;