PRN Sabah: BN umum manifesto 16 September - Zahid Hamidi

Bernama
September 12, 2020 19:19 MYT
Ahmad Zahid juga berkata Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan mana-mana projek yang dibatalkan oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan semula, jika BN dan sekutunya dipilih menerajui kerajaan negeri. -Bernama
Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan manifesto dan akujanji bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 16 September ini, kata pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, manifesto itu akan membawa sesuatu yang baharu dengan memastikan matlamat mengutamakan kepentingan rakyat tercapai.
"Kita akan membentang aku janji kita, bukan sahaja janji BN tetapi sesuatu yang baharu di luar kotak pemikiran," katanya ketika berucap pada perjumpaan selepas penamaan calon di Pusat Operasi BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid juga berkata Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan mana-mana projek yang dibatalkan oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan semula, jika BN dan sekutunya dipilih menerajui kerajaan negeri.
Mengenai calon BN bagi kerusi Lamag, beliau menyifatkan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin seorang pemimpin yang suka mendekati rakyat.
Katanya, pemimpin yang memiliki sifat itu boleh menjadi seorang ketua menteri dan wajar diberi keutamaan oleh pengundi di Lamag dalam memilih wakil rakyat mereka.
"Bung Moktar umpama permata datang dari bumi Kinabatangan tetapi tak digilap, walhal dia jaga rakyat dia," katanya.
Bung Moktar, yang juga pengerusi UMNO negeri, bakal dicabar empat lagi calon bagi merebut kerusi baharu itu.
Beliau akan berdepan dengan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Ismail Ayob, calon Parti Cinta Sabah (PCS) Razman Mayah, calon Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) Mohd Al Ruzainie @ Shirin Abdul Rahman dan Junny @ Karuak Abdullah yang bertanding atas tiket Bebas.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #kerajaan #Kinabatangan #Manifesto #pilihan raya #PRN Sabah #Sabah Memilih #UMNO #umum #Zahid Hamidi
;