PRN Sabah: BN sedia kerjasama dengan mana-mana parti, tapi keutamaan dengan PH

Bernama
Mei 21, 2024 19:36 MYT
Ahmad Zahid menghadiri Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2023, di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, tetapi keutamaan mereka ialah memperkukuhkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata memperkukuhkan kerjasama dengan PH itu penting, bagi memastikan persefahaman di antara dua parti itu dapat diterjemahkan di Sabah.
"Yang pentingnya BN harus memperkukuh kerjasama dengan PH. Itu adalah teras utama terutama di dalam pembentukan kerajaan di Putrajaya dan di Sabah juga mungkin suasana politik itu akan dapat diterjemahkan," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2023, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN sentiasa mengikuti perkembangan rapat suasana politik di Sabah dan menegaskan parti itu sangat dinamik dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana saja parti politik yang sealiran pegangan politiknya, bagi membentuk kerajaan di Sabah atau menjadi sebahagian daripada kerajaan di Sabah.
"Kita pernah bersama-sama dengan rakan-rakan kerajaan yang lepas, tetapi kita telah terpinggir sekarang ini, namun keterpinggiran itu tidak menjadikan UMNO tidak relevan di Sabah malah ini telah memberikan cabaran yang memperkuatkan UMNO di Sabah, dan kita sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang kuat bagi membentuk kerajaan di Sabah kelak," katanya.
Terdahulu, media melaporkan UMNO Sabah memberi bayangan akan membentuk satu gabungan atau gagasan baharu dengan mana-mana parti yang dirasakan boleh bekerjasama dalam mendepani PRN.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata UMNO negeri perlu mengambil pendekatan itu, kerana berpendapat tidak ada mana-mana parti di Negeri Di Bawah Bayu yang mampu bergerak secara sendirian pada PRN akan datang, berdasarkan landskap politik semasa.
Bagaimanapun, Bung Moktar berkata gagasan atau gabungan baru antara UMNO dan parti lain, akan diperhalusi terlebih dahulu manakala nama serta pembentukan akan dimaklum apabila tiba masa yang sesuai.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam ucapannya berkata warga kementerian perlu memastikan semua pihak berkepentingan memperolehi manfaat sewajarnya, menerusi peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan melalui KKDW.
Beliau berkata KKDW mempunyai pihak berkepentingan di seluruh negara yang terdiri daripada kumpulan sasar sama ada di kawasan desa, luar bandar, pinggir bandar serta di bandar, yang memerlukan keprihatinan dalam menangani pelbagai isu.
"MARA (Majlis Amanah Rakyat) umpamanya ialah agensi yang tidak hanya menumpukan perhatian terhadap masyarakat di desa, tetapi di seluruh negara termasuk di bandar dan di pinggir bandar.
"Persoalannya dengan perbelanjaan kerajaan yang begitu besar tahun lepas, kita telah diberikan sebanyak RM7.44 bilion dan kita mengharapkan jumlah yang lebih besar pada belanjawan akan datang.
"Saya ingin menekankan berdasarkan daripada laporan prestasi, adakah kumpulan pihak berkepentingan ini benar-benar telah memperolehi manfaat daripada belanjawan yang begitu besar, yang disalurkan oleh kerajaan melalui kita dan agensi-agensi kita?," katanya.
Beliau berkata tindakan susulan harus dilaksanakan bagi memastikan pihak berkepentingan dapat merasai setiap manfaat yang disalurkan.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #PRN Sabah #Zahid Hamidi #Bung Moktar Radin #Pakatan Harapan
;