PRN Sabah: Anwar tidak pernah sebut calon PKR 'tidak semestinya berasal dari Sabah'

Bernama
September 7, 2020 22:07 MYT
Anwar turut mengulangi pendirian bahawa beliau secara dasarnya bersetuju memberikan lebih banyak kebebasan untuk PKR Sabah memilih calon mereka sendiri.
PKR hari ini menafikan beberapa laporan media tempatan yang menerbitkan berita kononnya calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak semestinya berasal dari Sabah.
Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Presiden PKR itu menegaskan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim sama sekali tidak pernah menyebut mengenai perkara tersebut sebaliknya menegaskan pemilihan calon yang akan mewakili parti berkenaan perlu berdasarkan integriti mereka.
Kenyataan itu turut memaklumkan perkataan "bukan dari mana" yang disebut Anwar semasa melancarkan Jentera Pilihan Raya PKR Sabah dua hari lepas (5 Sept) bermaksud seseorang calon itu tidak semestinya berasal dari daerah atau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen yang sama sebaliknya mereka berpotensi untuk dicalonkan di kawasan lain.
"Contohnya sekiranya calon tersebut berasal dari Inanam, tidak semestinya beliau akan bertanding di kerusi tersebut," menurut kenyataan tersebut.
Pejabat Presiden PKR dalam kenyataan itu juga memaklumkan Anwar turut mengulangi pendirian bahawa beliau secara dasarnya bersetuju memberikan lebih banyak kebebasan untuk PKR Sabah memilih calon mereka sendiri.
"Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar pihak media lebih bertanggungjawab dengan laporan yang dikeluarkan dan dalam masa yang sama dapat menerbitkan berita yang sahih dan seimbang kepada semua pembaca mereka," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#anak tempatan #Anwar Ibrahim #calon #integriti #Parlimen #pemilihan #pilihan raya #PKR #presiden #PRN Sabah #Sabah #Sabah Memilih
;