PRN: Rundingan kerusi PH-BN 95 peratus selesai
Bernama
Mei 13, 2023 12:30 MYT
Mei 13, 2023 12:30 MYT
NIBONG TEBAL: Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di kesemua enam negeri, kini hampir 95 peratus selesai.
Naib Presiden PKR Chang Lih Kang berkata proses rundingan setakat ini berjalan baik dan beliau yakin gandingan PH-BN pada PRN ini akan tampil lebih teratur.
"Rundingan kerusi hampir selesai ... cuma ada sikit sini sana yang belum selesai, tetapi secara amnya rundingan kerusi berjalan dengan aman dan baik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Projek Hebat II, Wau Rocketery Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata semua rundingan yang dijalankan diperhalusi dari semasa ke semasa untuk mencapai persefahaman lebih baik sehingga keputusan akhir dapat dimuktamadkan.
"Setiap rundingan berteraskan formula gagasan Kerajaan Perpaduan demi memastikan pembelaan kepada rakyat serta memacu negara ke arah lebih baik, manakala berhubung pembahagian kerusi kita ada perimeter yang ditetapkan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbukanya di Kepala Batas, semalam.
-- BERNAMA