PRN: Rundingan agihan kerusi Perikatan Nasional 80 peratus siap - Hadi Awang
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 10, 2023 08:00 MYT
Januari 10, 2023 08:00 MYT
GEORGE TOWN: Rundingan mengenai agihan kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kini sudah 80 peratus.
Timbalan Presiden Perikatan Nasional, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sedang berjalan meskipun secara asasnya ia sudahpun dibuat sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.
Jelasnya segala strategi perlu diatur dengan rapi sebagai persediaan bagi menghadapi PRN kelak.
"Semasa PRU dulu kita sudah berbincang pembahagian kerusi secara langsung dan itu sudah menjadi asas perbincangan untuk DUN. Sama ada keputusan perbincangan itu kekal, ia perlu dilihat kepada strategi, untuk hadapi pilihan raya.
"Setakat ini pembahagian kerusi sudah dekat 80 peratus agihan kerusi di enam negeri itu," katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi, yang juga Presiden Pas berkata, segala persediaan sudah dibuat dan pihaknya yakin gabungan parti itu akan meraih kemenangan besar di enam DUN berdasarkan pencapaian gabungan itu pada PRU15 lalu.
Abdul Hadi berkata, gelombang kemenangan besar PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah jelas menunjukkan kekuatan sebenar PN termasuk penerimaan rakyat terhadap gabungan parti itu.
"Kita harap kejayaan gelombang ini berpanjangan khususnya selepas kerajaan PH yang perintah hari ini, kerajaan yang tak menentu. Nak kata perpaduan bukan perpaduan, kalau perpaduan mestilah kerajaan itu tak ada pembangkang, atau ada pembangkang yang terlalu kecil tak ada peranan, jadi ia baru kerajaan perpaduan.
"Kalau separuh pembangkang, itu bukan perpaduan. Ini istilah pun tak betul kemudian masih banyak masalah tak selesai, kenyataan yang tidak dilaksanakan," katanya semasa sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang pada Isnin malam.
Hadir sama, Pengerusi PN Pulau Pinang yang juga Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau dan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.
PRN untuk enam negeri dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.
Enam negeri berkenaan iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) serta Terengganu, Kelantan dan Kedah yang diterajui Pas.