PRN: Razali lawan Ahmad Said di Kijal

Sinar Harian
Julai 28, 2023 08:40 MYT
Razali Idris (kiri) dan Ahmad Said (kanan) dijangka berentap di DUN Kijal pada PRN Terengganu 12 Ogos akan datang. - Foto Sinar Harian
MARANG: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Razali bakal menentang penyandang kerusi tradisi UMNO, Datuk Seri Ahmad Said pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos depan.
Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini, pada malam Khamis.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad kekal mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 1,265 undi.
Beliau menerima 9,545 undi menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh yang menerima 8,280 undi dan calon Pakatan Harapan, Wan Marzuki Wan Sembok yang memperoleh 1,472 undian.
Bagaimanapun, keputusan pada PRU15 Parlimen Kemaman lalu tidak memihak kepada Pengerusi UMNO Terengganu itu.
Pilihan raya itu menyaksikan Ahmad Said tewas dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi kepada calon Pas, Che Alias Hamid.
Che Alias yang juga merupakan penyandang kerusi parlimen itu memperoleh 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi
Ahmad Samsuri pertahan kerusi DUN Ru Rendang
Menepati apa yang diramalkan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kekal dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ahmad Samsuri dijangka berdepan saingan dua penjuru menentang calon baharu dari Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaimi Sulaiman.
Pada PRU14 lalu, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Ru Rendang yang diambil alih daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 6,028 undi.
Dalam saingan tiga penjuru itu, beliau menerima 13,851 undi menewaskan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dari BN (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zarawi Sulong (729 undi).
DUN Bandar hadapi saingan tiga penjuru
Kerusi DUN Bandar bakal menyaksikan saingan sengit pada PRN kali ini selepas Pas mengumumkan Ahmad Shah Muhamed sebagai calon yang akan bertanding di kerusi berkenaan.
Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini, pada malam Khamis.
Ahmad Shah bakal menentang calon Barisan Nasional (BN), Armi Irzan Mohd dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Luqman Long.
Sebelum ini, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail yang bertanding di DUN Bandar pada PRU14 lalu terpaksa akur selepas tewas di kerusi yang ditandinginya itu selepas Pas menerusi Ahmad Shah Muhamed menang dengan majoriti 2,091 undi.
Ahmad Shah yang mendapat 7,133 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Toh Seng Cheng (5,042 undi) dan Azan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meraih 3,996 undi.
Hari pengundian bagi PRN enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan manakala penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini.
PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).
PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat. - Sinar Harian
#PRN Terengganu #Ahmad Said #DUN Kijal #Ahmad Samsuri Mokhtar
;