PRN: Rafizi yakin tiga negeri di bawah PH mampu dipertahan
Fareez Azman
Januari 14, 2023 14:12 MYT
Januari 14, 2023 14:12 MYT
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli yakin Pakatan Harapan (PH) dapat mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Jelas Rafizi, di Selangor, beliau menjangkakan 45 hingga 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu dikuasai gabungan parti itu.
"Saya yakin Keadilan dan PH akan mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, di Selangor kita (parti) biasa dengan super-majority.
"Jadi kalau tak dapat super-majority itu dianggap sebagai kekalahan, sebenarnya itu tidak betul.
"Insyallah melihat kepada data awal sebelum kita dapat data rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berdasarkan data awal itu kita sepatutnya boleh mempertahankan 40 kerusi, jadi dari segi margin mempertahankan Selangor itu agak besar dan selesa," katanya.
Mengulas mengenai kerjasama diantara PH dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN, jelas Rafizi yang merupakan Menteri Ekonomi, ia bergantung kepada keputusan kaji selidik serta kebolehpindahan undi.
"Setakat ini, kalau kita tengok beberapa kaji selidik berasingan setakat ini menunjukkan bahawa pengundi PH menerima dengan baik gabungan ini.
"Jadi secara hipotesis untuk PH kekalkan 40 kerusi itu agak mudah, kerana tanda-tandanya paling kuat menyokong Kerajaan Perpaduan ini adalah penyokong PH, terutamanya di kawasan bandar dan separa bandar yang faham, tentang keperluannya, dasar nak dibuatnya," ujarnya lagi.
Bagaimanapun jelasnya, ia bergantung kepada perkembangan dalaman parti UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 (PAU2022) yang sedang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara, ketika ini.
"Dari segi itu, PH sudah pun menang 40 kerusi di Selangor, risiko kita belum tahu ketidaktentuan itu lebih kepada berapa banyak undi UMNO nak dipindah kepada PH. Tidak begitu banyak, sama ada pengundi PH atau PH plus BN," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC)di sini, pada Sabtu.