PRN: Rafie sah bertanding Bebas di DUN Ampangan

Sinar Harian
Julai 29, 2023 12:10 MYT
DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad Rafie (gambar), Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (PH) dan Muhammad Ghazali (PN). - Gambar/ Sinar Harian
SEREMBAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Mohamad Rafie Ab Malek membuat kejutan apabila tampil sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di DUN berkenaan.
Beliau yang tiba di Pusat Penamaan Calon di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini pada Sabtu hadir bersama isteri, Datin Salina Shamsuddin serta kira-kira 50 penyokongnya yang membawa bendera putih tertera gambar Mohamad Rafie.
Malah penyokongnya turut melaungkan 'Dr Rafie Bebas'.
DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad Rafie, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman calon Pakatan Harapan (Pakatan Harapan) dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin calon Perikatan Nasional(Perikatan Nasional).
Pengumuman rasmi pencalonan mereka dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Ampangan, Zulfadhli Aziz pada jam 10.30 pagi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mohamad Rafie bertanding mewakili PH dan menang dengan majoriti 1,360 undi.
Beliau mengalahkan dua pencabarnya apabila memperoleh 6,801 undi manakala Abu Ubaidah Redza daripada Barisan Nasional 5,441 undi dan Mustaffa Daharun daripada Pas 983 undi. - Sinar Harian
#PRN #PRN Negeri Sembilan #Mohamad Rafie Ab Malek #DUN Ampangan
;