PRN: Radhi mahu bela nasib golongan pesawah di Alor Mengkudu
Hilmi Malik
Ogos 5, 2023 17:37 MYT
Ogos 5, 2023 17:37 MYT
ALOR SETAR : Nasib golongan pesawah akan menjadi tumpuan utama bagi calon Perikatan Nasional (PN), Muhamad Radhi Mat Din yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu.
Menurut Muhamad Radhi, kawasan berkenaan sebahagian besarnya terdiri daripada kelompok petani yang memerlukan perhatian terutamanya melibatkan isu kelangsungan hidup.
“Antara perkara yang membelenggu golongan pesawah adalah harga padi dan di kawasan ini di mana 70 peratus merupakan golongan petani.
“Jika saya dipilih sebagai wakil rakyat di Alor Mengkudu maka saya akan cuba bantu supaya petani-petani mampu untuk bangkit semula bukan setakat untuk tampung kemiskinan malah cuba untuk membuka lembaran baru dalam kehidupan mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Muhamad Radhi yang merupakan lagenda bola sepak tanah air akan menggunakan kelebihan tersebut dalam memperkasakan anak muda di kawasan berkenaan.
Menyedari kehidupan sosial anak muda yang sebahagiannya terjerumus dengan aktiviti tidak bermanfaat, beliau menjelaskan, akan menghidupkan aktiviti golongan itu melalui pemerkasaan sukan.
“Kita lihat anak muda banyak terlibat dengan gejala yang tidak sihat jadi dengan profesion yang saya ada, kita akan cuba pupuk suasana baru untuk anak-anak muda supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih bermanfaat,” ujarnya lagi.
Calon yang mewakili PN itu bakal bertemu dengan pesaingnya, Datuk Mahfuz Omar yang juga penyandang bagi DUN Alor Mengkudu.
Pertembungan itu merupakan kali kedua selepas beliau tewas pada peringkat Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu dengan pesaing yang sama.
Radhi kini memegang jawatan Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Lada, menjadi calon Pas pada PRU14 namun tewas di Parlimen Pokok Sena.