PRN: Putra tiada masalah guna logo PN - Ibrahim Ali
Bernama
Jun 25, 2023 16:26 MYT
Jun 25, 2023 16:26 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berharap dapat bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), dan diberi peluang oleh gabungan itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata tanpa mengharapkan jumlah kerusi yang banyak, Putra sedia bertanding di mana-mana jua sekiranya diberi peluang, malah tidak ada masalah untuk bertanding dengan menggunakan logo PN.
"Saya ingin nyatakan di sini bahawa Putra tidak akan jadi tukang sorak. Kita boleh bersama jika kita diiktiraf. Kalau tak banyak sekalipun (perlu) ada bukti, tanda bahawa kita dapat bersama.
"Kalau diberi kesempatan bekerjasama dengan PN, kalau boleh dua (atau) tiga kerusi juga tiada masalah, beri di mana sekalipun tidak kisah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Putra kali Keempat di sini, hari ini.
Ibrahim berkata beliau sudah menyampaikan hasrat itu kepada Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam petemuan mereka sebelum ini.
-- BERNAMA