PRN: Puteri UMNO guna pendekataan mesra media sosial sepanjang kempen

Bernama
Ogos 2, 2023 05:15 MYT
Nurul Amal berkata pendekatan itu dilihat sangat berkesan seiring dengan teknologi terkini untuk mendekatkan diri calon serta parti dengan pengundi di kawasan terbabit. - Foto BERNAMA
KUALA KRAI: Puteri UMNO menggunakan pendekatan 'Mesra Media Sosial' sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini yang membabitkan enam negeri.
Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata pendekatan itu dilihat sangat berkesan seiring dengan teknologi terkini seperti aplikasi TikTok, Instagram dan Facebook untuk mendekatkan diri calon serta parti dengan pengundi di kawasan terbabit.
"Ada dua, tiga gerak kerja baharu yang mungkin kita tambah baik sikit berbanding kempen sebelum ini. Namun kempen seperti tinjauan mesra dan ziarah rumah ke rumah masih diteruskan oleh Puteri UMNO untuk membantu calon yang bertanding," katanya kepada pemberita semasa berkempen di sini pada Rabu.
Mengulas hubungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pada PRN kali ini, Nurul Amal berkata kerjasama parti dalam kedua-dua gabungan politik sangat baik malah sentiasa bergerak bersama-sama untuk memenangkan calon di kawasan DUN masing-masing.
"Masa depan Kelantan terletak pada tangan pengundi, sekiranya mahukan perubahan mereka perlu berubah," katanya.
-- BERNAMA
#Facebook #Puteri UMNO #tinjauan mesra #membantu calon
;