PRN: Proses pembahagian kerusi BN-PH akan temui kegagalan, 'perceraian' - Sanusi

Abd Hadi Che Awang
Februari 8, 2023 18:42 MYT
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, proses rundingan pembahagian kerusi membabitkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama BN dan PH dalam menghadapi PRN akan menemui kegagalan. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, proses rundingan pembahagian kerusi membabitkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan menemui kegagalan.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, kegagalan rundingan berkenaan itu dijangka membawa kepada sesuatu yang lebih teruk iaitu perpecahan dan 'perceraian' melibatkan beberapa parti dalam gabungan terbabit.
Kata beliau, ini kerana akan wujud 'tuntutan' oleh UMNO melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu dan dalam masa sama, kerusi-kerusi berkenaan turut diintai parti kompenen lain dalam PH.
"Yang pertama sekali saya rasa PH dan BN akan berebut kerusi, pembahagian yang sangat sukar, kerana tentulah kerusi Melayu akan ‘diclaim' (dituntut) oleh UMNO, BN untuk menentang PN (Perikatan Nasional).
“Orang lain pun nak juga kerusi itu, saya rasa perkahwinan yang akan menemui kegagalan dan 'perceraian'… saya harap talak tiga, dua atau satu disegerakan, ia (kerjasama BN-PH) susah saya tahu, nampak pun sukar," tegas Muhammad Sanusi lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Kontinjen Kedah sempena Sukan Malaysia 2022 (SUKMA 2022) di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mendakwa, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur semalam bagi mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan bukanlah kali pertama selepas 25 tahun seperti dilaporkan.
"Sebelum ini dia (Anwar) pernah pergi (ke Menara Dato’ Onn untuk) meminang UMNO (bagi bergabung dengan PH selepas PRU15)… dia pergi sendiri di WTC (Pusat Dagangan Dunia), (saya) ada (bukti) bergambar.
“Saya pun ingat lagi (bila kejadian itu berlaku)… (yang semalam untuk mesyuarat itu) kali ke berapa sudah dia pergi (ke sana),(sebelum ini dia) jumpa senyap-senyap (dan) orang tidak tahu, (tetapi) saya tahu," dakwa Muhammad Sanusi lagi.
Semalam, mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa melibatkan semua parti dalam kerajaan.
Menurut Perdana Menteri, ia melibatkan Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.
Tambahnya, Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat.
#Barisan Nasional - Pakatan Harapan #PRN #pembahagian kerusi PRN #Muhammad Sanusi Md Nor
;