JERLUN: Prestasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi antara faktor penentu kepada sokongan rakyat terhadap gabungan parti-parti kerajaan dalam berhadapan dengan pilihan raya negeri (PRN) kelak.

Menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub, gelanggang pertarungan terutama dengan parti Perikatan Nasional (PN) di keenam-enam negeri yang akan melalui PRN masih terbuka.

Selain itu, kata beliau, rakyat juga akan membuat penilaian berdasarkan apa yang sedang diusahakan pimpinan parti yang berada di dalam kerajaan Pusat meskipun baru dua bulan mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak dakwaan bahawa pakatan antara komponen berkenaan bersama Barisan Nasional (BN) akan berhadapan dengan perpecahan terutama ketika proses pembahagian kerusi kelak.

"Itu (prestasi Kerajaan Perpaduan) sudah pasti (jadi antara penentuanya), rakyat boleh menilai kita, (program)-program yang telah kita lakukan.

"Apa yang diusahakan oleh Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dalam tempoh dua bulan ini adalah menjadi antara faktor penting bagi rakyat untuk menunjukkan satu referendum awal mereka terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan dan (menjadi) medan (kepada persiapan di) enam negeri… inilah yang mana akan memberikan keputusan (kelak),” kata beliau.

Salahuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sumbangan Kembali ke Sekolah dan Program KPDN Kedah di Pusat Peduli Rakyat DUN Kota Siputeh, Jerlun pada Rabu.

Terdahulu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa tindakan Kerajaan Perpaduan yang didakwa 'mencipta' pelbagai tuduhan terhadap PN berisiko mengundang tindak balas rakyat.

Ia termasuk gelombang sokongan kepada PN yang sudah terbentuk ketika PRU15 dan juga akan dilihat melalui keputusan enam PRN yang bakal dihadapi tidak lama lagi.