PRN: Polis Terengganu kenal pasti 66 kawasan panas, empat kategori satu
Bernama
Julai 6, 2023 18:03 MYT
Julai 6, 2023 18:03 MYT
KUALA TERENGGANU: Polis mengenal pasti 66 kawasan panas di negeri ini termasuk empat lokasi dalam kategori satu iaitu kawasan berisiko berlaku pertengkaran fizikal antara penyokong parti sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata selebihnya adalah dalam kategori dua iaitu kawasan dengan risiko pertengkaran mulut dengan penggunaan perkataan berbaur serangan dan kategori tiga membabitkan risiko perbalahan mulut tetapi tidak memalukan lawan.
"Bagaimanapun, penilaian dari semasa ke semasa akan terus dijalankan dan angka ini mungkin akan bertambah atau berkurang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Jun dilaporkan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti 190 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di enam negeri terlibat PRN kali ini.
Mengenai penugasan anggota, Mazli berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri telah membuat permohonan bantuan sumber manusia iaitu dari ibu pejabat PDRM di Bukit Aman dan IPK negeri lain yang tidak terlibat dengan PRN.
"Buat masa ini dianggarkan Terengganu memerlukan kekuatan anggota seramai 4,400 pegawai dan anggota untuk penugasan di seluruh negeri pada PRN ini.
"Ketika ini Terengganu ada lebih kurang 3,200 anggota, jadi kita perlukan penambahan kekuatan dari Bukit Aman dan IPK lain untuk bantu lancarkan PRN kali ini serta jamin keselamatan proses pilihan raya," katanya.
Mazli turut mengingatkan untuk sebarang perhimpunan sepanjang tempoh PRN ini, pihak penganjur perlu membuat permohonan permit sekurang-kurangnya seminggu awal sebelum tarikh perhimpunan diadakan.
"Buat permohonan permit lebih awal, lagi awal lagi bagus sebab kita tidak mahu ada pertembungan lokasi atau tarikh perhimpunan antara parti terlibat.
"Permohonan boleh dibuat terus kepada Ketua Polis Daerah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
"Diingatkan juga kepada semua pihak pada sepanjang tempoh PRN ini baik sebelum penamaan calon mahupun sewaktu berkempen agar tidak menyentuh sebarang isu sensitif terutama melibatkan 3R (bangsa, agama dan raja). Sila patuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Akta Perhimpunan Aman," katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan menjalankan PRN secara serentak pada 12 Ogos ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
-- BERNAMA