PRN: Polis Terengganu ingatkan ahli politik, parti jangan mainkan isu 3R

Umavathi Ramayah
Julai 29, 2023 13:18 MYT
Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tegas terhadap mereka yang cuba mengaitkan isu 3R ketika berkempen Pilihan Raya Negeri.
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu memberi amaran kepada semua parti dan calon yang akan bertanding di negeri tersebut supaya tidak mengeksploitasi isu 3R dengan menyentuh kaum, agama dan institusi diraja yang boleh memecah-belahkan keharmonian negara sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tegas terhadap mereka yang cuba mengaitkan perkara itu ketika berkempen.
"Kita berharap calon-calon atau mana-mana parti politik ketika berkempen tidak menjadikan isu 3R dalam ucapan mereka yang boleh menimbulkan provokasi atau menjejaskan ketenteraman.
"Calon-calon juga perlu mematuhi peraturan serta mendapatkan permit untuk berkempen supaya PRN berjalan dengan lancar pada 12 Ogos ini," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undang Negeri Ladang.
Dalam pada itu, Mazli memberitahu, sebanyak 59 lokasi panas atau hotspot dikenal pasti polis kontinjen Terengganu sepanjang tempoh berlangsungnya PRN nanti.
Tiga daripada lokasi itu, katanya, diklasifikasikan sebagai kategori satu iaitu sebagai kawasan berisiko berlaku pertengkaran fizikal antara penyokong parti sepanjang PRN.
Kawasan-kawasan itu adalah Batu Enam, Batu Burok, Wakaf Mempelam dan Kedai Buluh.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, proses penamaan calon termasuk perarakan yang melibatkan semua calon parti ke pusat penamaan calon pada hari ini berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.
#PRN Terengganu #isu 3R #Polis Terengganu #Mazli Mazlan
;