PRN: PN Kedah hidang 17 tawaran

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 3, 2023 09:40 MYT
Manifesto itu didedahkan dalam Program Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, Jitra, Kedah Rabu malam yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. - Astro AWANI
JITRA: Perikatan Nasional (PN) menawarkan 17 perkara untuk dilaksanakan di Kedah dalam manifesto mereka sekiranya gabungan tersebut terus diberi mandat oleh rakyat bagi mentadbir negeri ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Tawaran pertama dalam manifesto tersebut adalah memperteguh tadbir urus negeri yang profesional dan berintegriti, dengan menekankan keadilan serta kesejahteraan semua kaum selain mempertahankan hak dan bidang kuasa kerajaan negeri, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Manakala tawaran kedua pula adalah meningkatkan kecekapan institusi kepimpinan wakil rakyat, penghulu, ketua kampung serta imam dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan buat rakyat.
Selain itu, antara tawaran dikemukakan adalah penyediaan 100,000 peluang pekerjaan berdaya saing dalam tempoh 30 tahun melalui pelaburan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi termasuklah projek yang sudah dirancang seperti Bandar Raya Getah Kedah (KRC), Kedah Aerotropolis, dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
PN Kedah juga berazam untuk memastikan komitmen pelaburan domestik dan antarabangsa dengan pelbagai projek berimpak tinggi dengan sasaran RM10 bilion setahun seperti digariskan dalam Pelan Kedah 2035.
Dalam memastikan setiap rakyat memiliki rumah kediaman, PN turut membuat tawaran untuk menyediakan lot tanah kediaman mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah serta meneruskan proses kelulusan permohonan hak milik tanah yang tertunggak sejak sekian lama.
PN juga dalam masa sama berhasrat membina dan menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik melalui inisiatif kerajaan dan swasta untuk pembeli rumah pertama dengan sasaran jumlah 15,000 rumah menjelang 2030.
Tawaran itu turut menyatakan hasrat PN untuk membaik pulih 1,000 unit rumah golongan asnaf dan kurang berkemampuan setiap tahun.
PN turut berazam untuk menyelesaikan isu berkaitan bekalan air bersih di negeri ini yang berlarutan sejak sekian lama, secara meyeluruh selain mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) kepada 25 peratus menjelang 2037.
Institusi masjid turut mahu diperkasa sebagai puysat utama kegiatan masyarakat. pengajian dakwah dan kebajikan melalui pelaksanaan program amar makruf nahi mungkar serta pemupukan budaya murni dengan kerjasama melibatkan institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan wanita serta belia agensi kerajaan serta penduduk setempat di sesebuah kawasan.
Kesemua 17 perkara yang ditawarkan dalam manifesto itu didedahkan dalam Program Jelajah Mega PN Best di Dataran Darul Aman, Jitra, Kedah Rabu malam yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
#PRN #PN #Manifesto #taadbir urus negeri
;