PRN: PN beri jaminan batal projek tambak laut jika rampas Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 4, 2023 15:20 MYT
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan rancangan projek PSI dikurangkan daripada tiga kepada hanya satu pulau iaitu melibatkan pengurangan 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar). - Gambar fail
BAYAN LEPAS: Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) tidak akan diteruskan sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Jaminan itu disuarakan Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dominic Lau yang melihat keperluan membantah projek tersebut demi kelangsungan hidup nelayan di negeri itu.
Dominic berkata, bantahan PN terhadap projek tambak laut tersebut selari dengan tuntutan nelayan kerana kawasan tersebut merupakan lokasi strategik bagi sektor perikanan dan pelancongan.
"Jika mandat diberikan kepada PN dalam PRN, kita memang terus bantah tambak laut ketiga-tiga pulau, satu pun kita takkan beri, kerana kita faham tuntutan nelayan Pulau Pinang.
"Kita bukan mahu menghalang pembangunan, tetapi pembangunan yang dibawa oleh DAP di Pulau Pinang ketika ini adalah hanya membina kondominium dan rumah mewah yang tidak mampu dibeli oleh anak-anak Pulau Pinang," katanya yang juga calon PN DUN Bayan Lepas.
Dominic yang juga Presiden Parti Gerakan berkata meskipun skop projek berkenaan kini sudah dikecilkan kepada hanya satu pulau, namun pihaknya tetap konsisten membantah projek tambak laut itu sejak dahulu.
Terdahulu, beliau menyertai sidang media Jawatankuasa Tolak Tambak bersama pemimpin persatuan nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan rancangan projek PSI dikurangkan daripada tiga kepada hanya satu pulau iaitu melibatkan pengurangan 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).
Rancangan projek itu kini hanya melibatkan pembinaan Pulau A atau ‘Silicon Island’ yang akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan.
Bagaimanapun, projek PSI itu terus mendapat bantahan majoriti golongan nelayan negeri ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar yang mendesak ia dibatalkan sepenuhnya, bukannya hanya dikurangkan kepada satu pulau.
Pada Rabu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memasukkan pembangunan projek `Silicon Island’ di dalam 16 tunjang manifesto mereka bagi PRN kali ini dengan sasaran menjana RM7 bilion kepada ekonomi tempatan pada tempoh pembinaan.
#PRN #PRN Pulau Pinang #projek tambak laut #Dominic Lau
;