PRN: PH Pulau Pinang sasar menang 32 kerusi

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 26, 2023 19:38 MYT
Chow Kon Yeow berkata, keyakinan itu berdasarkan pencapaian pada pilihan raya umum lalu. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang meletakkan sasaran memenangi 32 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Ogos ini.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keyakinan itu berdasarkan pencapaian pada pilihan raya umum lalu.
"Sekiranya dapat kekalkan apa yang kita pernah menangi pada 2008-2013 lepas... kita mencapai 29 hingga 30 kerusi pada PRN... justeru pada kali ini, kalau boleh dapat 30 hingga 32 kerusi ia boleh dianggap satu keputusan yang memuaskan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar, di sini, pada Isnin.
Pada pilihan raya umum 2008 dan 2013 di bawah Pakatan Rakyat, gabungan itu memenangi 29 dan 30 kerusi dan membentuk kerajaan negeri.
Pada 2018, di bawah PH dan rakan gabungan baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pakatan itu memperoleh kemenangan besar dengan 37 kerusi DUN menewaskan Pas dan Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, mengenai rundingan kerusi PRN, Kon Yeow berkata, rundingan antara PH dan BN sudah selesai dan kini hanya menunggu Majlis Presiden memuktamadkannya.
#PRN Pulau Pinang #Chow Kon Yeow #sasaran kerusi #PRU15
;