PRN: PH mampu pertahan tiga DUN Parlimen Kota Raja - Tengku Zafrul
Sinar Harian
Jun 25, 2023 23:21 MYT
Jun 25, 2023 23:21 MYT
KLANG: Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kota Raja.
Parlimen Kota Raja yang terdiri daripada DUN Sungai Kandis yang disandang Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PH-PKR); Kota Kemuning, V Ganabatirau (PH-DAP) dan Sentosa, G Gunaraj (PH-PKR).
Tengku Zafrul berkata, UMNO bersedia membantu jentera Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan ketiga-tiga kerusi tersebut.
"Saya optimistik jika kerjasama ini diteruskan Insya-ALLAH ketiga-tiga kerusi DUN ini dapat dipertahankan.
"... Yang penting Kerajaan Perpaduan menang, " katanya ringkas ketika berucap pada Jelajah Arus Merah Kuning DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Sri Andalas dekat sini pada Ahad.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merangkap Pengerusi PH Selangor.
Jelajah itu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membubarkan DUN pada 23 Jun lalu.
Pembahagian kerusi membabitkan kerjasama PH-BN di Selangor masih menimbulkan tanda tanya selepas Amirudin mengambil pemdekatan kunci mulut berhubung perkara itu.