PRN: PH, BN Sabah wujudkan ruang komunikasi bagi gerak kerja bersama

Bernama
November 5, 2024 17:16 MYT
Pertemuan itu adalah dalam rangka memupuk semangat perpaduan selaras dengan persefahaman antara pucuk pimpinan kedua-dua parti. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini bersetuju mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama, termasuk terbuka menjalin hubungan dengan parti lain sebagai persediaan memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Dua parti itu dalam kenyataan bersama memaklumkan perkara itu dibincangkan pemimpin parti berkenaan dalam pertemuan tidak rasmi di sini hari ini dengan kedua-dua pihak berkongsi aspirasi untuk memastikan asas-asas kerjasama itu akan memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.
Pertemuan itu juga adalah dalam rangka memupuk semangat perpaduan selaras dengan persefahaman antara pucuk pimpinan kedua-dua parti iaitu Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Kedua-dua pihak juga bersetuju sebarang bentuk persefahaman untuk bergerak ke hadapan akan diputuskan melalui perbincangan dan persefahaman pucuk pimpinan kedua-dua parti," menurut kenyataan itu hari ini.
Hadir dalam pertemuan tidak rasmi itu antaranya Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Donald Peter Mojuntin dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Turut hadir Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi MCA Sabah Datuk Teah Heok Kuin, Pengerusi MIC Sabah Peer Muhmad Kadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah Lahirul Latigu dan Naib Pengerusi DAP Sabah Jannie Lasimbang.
-- BERNAMA
#PRN Sabah #Barisan Nasional #Pakatan Harapan #wujudkan ruang komunikasi #Anwar Ibrahim #Zahid Hamidi
;