PRN: PH-BN runding Rabu ini, bincang baki tiga kerusi di Selangor - Amirudin

Umavathi Ramayah
Jun 11, 2023 20:46 MYT
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan rundingan pada Rabu depan bagi membincangkan senarai calon untuk tiga lagi kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang masih belum dimuktamadkan.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, 53 daripada 56 kerusi yang akan dipertandingkan pada PRN Selangor sudah diputuskan.
"Rabu akan datang ada perbincangan di peringkat rasmi, namun, saya percaya hal ini bukan hal rasmi sangat, hanya persefahaman yang perlu dibentuk.
"Bermula dengan 56 kerusi, kini hanya tinggal tiga kerusi (belum dimuktamadkan), perkembangannya sangat bagus dalam tempoh dua minggu sahaja.
"Sebab itu saya yakin, ia dapat diselesaikan secepat mungkin. Sekurang-kurangnya 53 kerusi sudah dimuktamadkan dan calon juga sudah mula bekerja," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI 2023 Selangor di sini, pada Ahad.
Amirudin menjelaskan, ketiga-tiga kerusi itu berpotensi tinggi untuk dimenangi gabungan Kerajaan Perpaduan.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan tiga kerusi berkenaan kerana perlu menunggu pengumuman rasmi daripada ketua masing-masing.
#Amirudin Shari #Barisan Nasional #Kerajaan Perpaduan #Pakatan Harapan
;