PRN: PH belum bincang secara rasmi dengan BN, UMNO - Rafizi
Nur Fazlizai Ali
Januari 21, 2023 16:22 MYT
Januari 21, 2023 16:22 MYT
KUALA TERENGGANU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum mengadakan rundingan secara rasmi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perbincangan secara rasmi antara semua pimpinan parti dalam Pakatan Harapan (PH), termasuk membabitkan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO juga belum diadakan.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, bagaimanapun perbincangan secara tidak rasmi telah berlangsung membabitkan beberapa negeri.
“Tidak rasmi di peringkat negeri masing-masing, Selangor pun saya tahu Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin ada berbincang secara tidak rasmi dengan Pengerusi UMNO Selangor.
"Di Terengganu pun saya tahu saudara Nik sudah jumpa dengan Ahmad Said, semua, tetapi yang rasmi kita harap yang dapat menetapkan parameter dan prinsip itu belum berlaku lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PKR Terengganu di Taman Tamadun Islam, di sini pada Sabtu.
Sementara itu ketika ditanya berhubung pengagihan kerusi, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata perkara itu juga akan dibincangkan nanti.
“Insya-Allah ia akan bermula di Pusat kerana kita kena tentukan parameter dia daripada Pusat, dia runding kerusi, tidak boleh masuk buta sahaja, dia kena ada prinsip-prinsip, parameter.
“Kalau yang itu dipersetujui di antara pimpinan PH dan juga rakan kerjasama pilihan raya baik UMNO atau BN di peringkat Pusat, yang itu akan jadi panduan bila dirundingkan di peringkat negeri,” katanya lagi.
Terdahulu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpendapat adalah lebih baik enam negeri yang belum membubarkan DUN mengadakan PRN secara serentak iaitu selepas habis penggal tahun hadapan.
Jelasnya, pembubaran DUN secara serentak di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan adalah wajar bagi memudahkan pengundi mendapatkan cuti selain memastikan kos untuk mengadakan PRN di kesemua negeri itu tidak terlalu tinggi.