PRN: Penyandang DUN Pandan Indah tak gentar lawan Ayahanda Cik Ton
Hasimi Muhamad
Julai 29, 2023 14:45 MYT
Julai 29, 2023 14:45 MYT
AMPANG: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Izham Hashim tidak gentar dengan populariti di media sosial yang dimiliki pesaingnya, Fazil Mohamad Dali atau Ayahanda Cik Ton yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Menurut calon Pakatan Harapan (PH) itu, populariti bukan ukuran kepada terjemahan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan, kerana bukan semua pengikut di media sosial tersebut adalah pengundi di kerusi terbabit.
"Kalau kata dia ada sejuta (pengikut di laman sosial), kalau semuanya berada di luar Pandan (Parlimen bagi DUN Pandan Indah), itu tidak akan membantu memenang (Ayahanda Cik Ton) di Pandan.
"Lagi satu populariti dalam media sosial atau apa juga media, itu tidak akan menjamin diterjamahkan dalam bentuk undi. Walaupun dia (sokongan di media sosial) akan membantu tetapi ia tidak semestinya satu-satunya kiteria untuk menang dalam plihan raya.
"Jadi ini kita kena faham dan kita mempunyai dua minggu untuk berkempen untuk meyakinkan pengundi kita. Insya-Allah saya berkeyakinan rakyat di Pandan pandai (menilai)," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Perbandaran MPAJ, di sini pada Sabtu.
Begitu pun, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor itu mengalu-alukan sesiapa sahaja calon untuk bertanding, dan menyifatkan ia sebagai persaingan sihat.
"Kita tak mahulah dengar kata menghina ini... itu bukan budaya kita.
"Jadi kalau nak hina jangan datang Selangorlah, itu yang saya minta. Pendekatan kita begitu (tidak hina) dan kita berhujah berdasarkan fakta dan apa agenda kita.
"Rakyat akan menilai track record dan kemampuan kita untuk melaksanakan apa yang kita janjikan untuk rakyat," ujarnya lagi.
Izham menambah sepanjang lima tahun bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, beliau telah mendekati dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
Ujarnya, usaha akan terus dipergiatkan dalam membela nasib rakyat di kawasan tersebut, selain menambah baik prasarana infrastuktur.
Dalam masa sama, beliau yakin semua calon Amanah boleh menyapu bersih sembilan kerusi yang ditandingi di Selangor.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Izham menang dengan majoriti 16,386 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Haniff Koslan dan Datuk Iskandar Abdul Samad (Pas).
Pada PRN 12 Ogos depan, Izham berdepan saingan empat penjuru.
Selain Ayahanda Cik Ton, dua lagi calon yang memberi tentangan ialah Lisa Redzuan yang juga Timbalan Ketua Parlimen MUDA Bandar Tun Razak mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), dan seorang calon Bebas, Sivaneswaran Ramasundram.