PRN: Pengundi diseru tidak terpengaruh dengan retorik 'The Greater Kedah' - BN
Bernama
Ogos 7, 2023 15:26 MYT
Ogos 7, 2023 15:26 MYT
SUNGAI PETANI: Gagasan 'The Greater Kedah' yang dilaungkan oleh kerajaan Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap oleh calon Barisan Nasional (BN) sebagai retorik politik semata-mata, malah sukar untuk direalisasikan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata dengan hubungan yang boleh dikatakan kurang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, menyebabkan apa yang ditawarkan menerusi idea itu tidak realistik dan mustahil untuk direalisasikan.
"Kesemua yang diuar-uarkan ini semuanya memerlukan perbelanjaan dan pelaburan yang sangat besar dan ia memerlukan komitmen daripada kerajaan pusat. Rakyat kena faham dalam keadaan hubungan yang sangat teruk Menteri Besar dengan kerajaan pusat, bagaimana dia nak merealisasikan The Greater Kedah ini?" katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Shaiful Hazizy, yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai berkata sepanjang tiga tahun Perikatan Nasional (PN) mentadbir Kedah tiada sebarang kemajuan ataupun pembangunan yang boleh dibanggakan.
Justeru beliau menyeru pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab pada 12 Ogos ini supaya membuat keputusan sewajarnya sama ada mahu mengangkat seorang pemimpin berdasarkan populariti semata-mata ataupun pemimpin yang benar-benar boleh melaksanakan tanggungjawab memimpin negeri.
Pendapat sama turut diutarakan calon BN bagi DUN Pantai Merdeka Wan Mohalina Wan Mohammad yang berkata adalah mustahil untuk The Greater Kedah itu dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri tidak mendapat sokongan daripada kerajaan Persekutuan.
"Kita boleh bercakap tentang semua projek mega ini, tetapi adakah kita mempunyai pelabur yang boleh laksanakannya dengan baik dan cemerlang? Kemudian siapa pula yang akan beri kelulusan dan jaminan untuk projek-projek itu.
"Sebelum ini ketika BN mentadbir negeri ini, kita dapat laksana banyak projek-projek berskala besar kerana kita ada hubungan baik dengan kerajaan pusat. Jadi ini suatu yang pengundi perlu fahami dan pertimbangkan apabila mereka membuat keputusan pada hari pengundian nanti di mana kita mahukan kerajaan negeri Kedah ini selari dengan Persekutuan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid menggesa rakyat Kedah agar memilih pemimpin negeri yang mampu menguruskan negeri dengan berkesan daripada memilih berdasarkan populariti.
"Di Kedah, terdapat majoriti Melayu, tetapi terdapat juga komuniti Cina, India, dan Thai, mereka semua memerlukan ekonomi yang kukuh. Sebab itu kita kena fikir, ini (pemerintahan negeri) bukan untuk watak populis, bukan mahu popular.
"Kita nak jadi kerajaan, tak penting popular. Yang pentingnya boleh menguruskan negeri ini. Yang paling penting adalah bagaimana mengurus untuk rakyat dapat ekonomi yang baik," katanya pada program ceramah PH-BN di Alor Setar, malam tadi.
-- BERNAMA