PRN: Pendirian PN Kedah kekal sasar menang 33 kerusi DUN - Sanusi
Abd Hadi Che Awang
Februari 1, 2023 11:29 MYT
Februari 1, 2023 11:29 MYT
ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa gabungan itu mampu menang di 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, keyakinan itu bersandarkan jumlah undi yang diperoleh PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Menurut Muhammad Sanusi, meskipun undi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang kini berada di dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan dicampur, jumlah itu masih belum mampu mengatasi undi PN.
Tambah Muhammad Sanusi, keputusan yang dibuat UMNO memecat serta menggantung beberapa kepimpinan parti bukan sahaja memberi kesan kepada parti berkenaan malah kepada rakan kerjasama mereka iaitu PH.
Bagaimanapun, PN, tegasnya, tidak akan mengambil mudah cabaran yang akan dihadapi selain berusaha memperkemaskan segala persiapan menjelang tarikh sebenar PRN kelak.
Mengulas kenyataan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan sokongan kepada PN akan merosot menjelang PRN kelak, Sanusi menegaskan, kesan daripada 'tsunami' sokongan kepada PN tidak akan surut dengan cepat memandangkan ia bencana besar yang turut menumbangkan pemimpin PH dengan majoriti yang sangat tinggi.
"Kita pun tidak pernah ambil benda sebegini (keputusan yang dibuat UMNO) sebagai (sesuatu) memudahkan kita, kita sentiasa bersedia, persiapan (giat) dibuat (tertutama) kempen (yang akan) diperkemaskan, (kita juga) perhatikan lawan kita buat apa,
"(Untuk di Kedah) sebutkan selalu, kalau (jumlah undi) BN campur dengan PH pun tidak akan mengatasi PN di 33 kerusi (DUN) dan keadaan itu (atau sasaran saya itu) akan kekal hingga sekarang ini
"Memang (betul Datuk Mahfuz cakap) ‘tsunami’ tidak jadi hari-hari, tetapi sekali jadi (dia kalah sampai) 31,000 undi (majoriti di Parlimen Pokok Sena), takkan (benda sebegini) hendak pulih dengan cepat, (sampai) 31,000 undi kalah, itu 'bapa' tsunami’," kata Menteri Besar itu lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2023 di Dewan Seri Mentaloon, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi juga optimis, PN mampu mempertahankan Kedah, Kelantan dan Terengganu selain merampas Selangor serta Negeri Sembilan dan memperbanyakkan bilangan kerusi DUN Pulau Pinang di dalam PRN akan datang.
Pada Jumaat, Mahfuz mengingatkan Muhammad Sanusi bahawa ‘tsunami’ tidak terjadi setiap hari
Ia susulan keyakinan yang dizahirkan Menteri Besar Kedah itu bahawa PN akan menang besar pada PRN akan datang berdasarkan prestasi gabungan itu pada PRU15.