PRN: Pemuda Pas Pulau Pinang dakwa wujud cubaan bawa 'pengundi hantu'
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 9, 2023 19:14 MYT
Ogos 9, 2023 19:14 MYT
PERMATANG PAUH: Pemuda Pas Pulau Pinang mendakwa wujud usaha memanipulasi undi dengan membawa 'pengundi hantu' semasa hari pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
Ketua Penerangannya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar, berkata usaha itu didakwa dilakukan dengan cara “menyewa” kad pengenalan pengundi di sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan bayaran tertentu.
Dakwanya lagi, kad pengenalan tersebut akan digunakan oleh individu lain semasa hari mengundi sebelum dipulangkan kepada pemiliknya selepas selesai pilihan raya.
“Modus operandinya adalah dengan mendapatkan dan mengumpulkan sebanyak mungkin kad pengenalan pengundi di sesuatu DUN, terutamanya anak muda dengan balasan berbentuk wang. Kemudian kad pengenalan tersebut akan digunakan oleh “pengundi hantu” untuk mengundi sesuatu parti tertentu.
“Kami percaya bahawa ini merupakan satu skandal penipuan pilihan raya yang terdesak dengan kaedah 'menyewa' kad pengenalan pengundi sebagai cubaan terakhir untuk memperoleh kemenangan secara kotor, tidak bersih dan tidak adil,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Mohamad Ikhwan lagi, gerakan mengumpul kad pengenalan tersebut didakwa dilakukan ketika siri kempen rumah ke rumah.
“Setakat dimaklumkan ia dilakukan ketika program-program kempen dan kalau tidak ada program, ia dilakukan ketika kempen rumah ke rumah, dari situ mereka akan cuba kumpul kad pengenalan,” dakwanya lagi.
Namun, pihaknya belum bercadang untuk membuat laporan polis berikutan belum mempunyai bukti kukuh berhubung kegiatan tersebut.
Mohamad Ikhwan berkata, pihaknya turut mendapat maklumat bahawa terdapat perancangan untuk membawa masuk kertas undi secara haram dengan kaedah menukar peti undi bagi memenangkan sesuatu parti tertentu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak cubaan terdesak dan penipuan yang cuba dilakukan pihak tertentu bagi tujuan memperolehi kemenangan pada PRN kali ini.
Justeru, beliau mengingatkan pengundi dapat memberi kerjasama dan berusaha membanteras serta mencegah skandal penipuan terbabit lebih awal sebelum ianya berlaku.
“Pilihan raya sepatutnya menjadi sebuah padang yang rata untuk semua pihak bertanding secara sihat dalam suasana demokrasi yang matang, tidak kira sama ada yang bertanding itu adalah parti daripada kerajaan semasa, pembangkang mahu pun calon bebas.
“Skandal penipuan pilihan raya seperti ini tidak akan mematangkan demokrasi di negara ini malah, membawa Malaysia semakin terbelakang dengan kaedah lapuk untuk memenangi pilihan raya” katanya.
“Pemuda Pas Pulau Pinang meyakini integriti Suruhanjaya Pilihan Raya, PDRM dan petugasnya, tetapi semua pihak perlu mengambil berat usaha memanipulasi pilihan raya ini dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya kes ini berlaku di sekeliling anda,” katanya lagi.