PRN: Pemuda BN harap 30 peratus calon muda bertanding
Bernama
Jun 16, 2023 20:14 MYT
Jun 16, 2023 20:14 MYT
JOHOR BAHRU: Pemuda Barisan Nasional (BN) berharap sekurang-kurangnya 30 peratus calon orang muda dipilih untuk bertanding di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Timbalan Pengerusi Pemuda BN Mohd Hairi Mad Shah berkata permintaan itu adalah seiring dengan peranan orang muda yang sememangnya tidak dapat dinafikan amat diperlukan untuk masa depan negara.
"Permintaan 30 peratus calon orang muda ini adalah sama seperti semasa kepimpinan bekas Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semasa Pilihan Raya Umum ke-15.
"Rakyat melihat dan menilai kepimpinan masa kini. Sebab itu kerusi untuk Pemuda termasuk juga Puteri harus diketengahkan untuk jamin masa depan negara," katanya kepada pemberita di Program Jualan Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ) di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah, Larkin di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pemuda BN bagi calon orang muda yang akan bertanding pada PRN.
Mohd Hairi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda UMNO berkata langkah tersebut bukan bertujuan meminggirkan orang lama, sebaliknya untuk masa depan rakyat secara keseluruhan.
Enam negeri yang terlibat dengan PRN ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.
-- BERNAMA