PRN: Pembahagian kerusi BN, PH di Kedah hampir dimuktamadkan - Zahid

Abdul Hadi Che Awang
April 27, 2023 14:10 MYT
Zahid memaklumkan proses yang sama di lima lagi negeri termasuk Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan diputuskan selepas beliau mengadakan lawatan ke negeri berkenaan. - Gambar/ Sinar Harian
BALING: Proses pembahagian kerusi membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang khususnya di negeri Kedah hampir dimuktamadkan.
Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan proses yang sama di lima lagi negeri termasuk Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan diputuskan selepas beliau mengadakan lawatan ke negeri-negeri berkenaan.
"Kita hampir memuktamadkan pembahagian kerusi (bersama PH) untuk negeri Kedah.
"Lain-lain (negeri) proses (pembahagian) kerusi (akan diputuskan) apabila saya berada di negeri berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Walkabout Timbalan Perdana Menteri ke Desa KEDA Sadek, Baling pada Khamis.
Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, Zahid memaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengadakan beberapa perbincangan dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.
"(Berhubung peruntukan kepada pembangkang) itu, Timbalan Perdana Menteri II telah adakan siri perbincangan.
"Ia akan dimuktamadkan (kelak) dan pengumuman akan dibuat YAB Perdana Menteri, di peringkat awal kita bersetuju untuk (laksanakan) perbelanjaan (secara) pentadbiran," katanya.
Pada Selasa, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan proses perbincangan agihan kerusi membabitkan PH dan BN bagi menghadapi PRN di enam negeri berlangsung dalam suasana yang memberangsangkan serta mengikut jadual.
Tambah beliau, tiada sebarang kesulitan yang berlaku dalam proses berkenaan meskipun gabungan atau kerjasama itu baru sahaja dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lalu.
#Zahid Hamidi #PRN Kedah #pembahagian kerusi #PH dan BN
;