PRN: Pembahagian kerusi akan dibincang segera - Anwar
Ridauddin Daud
Februari 7, 2023 22:51 MYT
Februari 7, 2023 22:51 MYT
KUALA LUMPUR: Parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan masih belum membincangkan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembahagian tersebut akan dibincangkan dalam masa terdekat.
“Itu jawatankuasa rundingan kerusi, jawatankuasa pilihan raya akan segera berbincang,” jawabnya ringkas pada sidang media selepas mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn pada Selasa.
Anwar sebelum itu mengumumkan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa melibatkan semua parti di dalam kerajaan.
Menurutnya, ia melibatkan Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.
Sementara itu, dalam mesyuarat itu juga, Anwar memaklumkan dapatan kajian menunjukkan Kerajaan Perpaduan dengan kekuatan beberapa parti mendapat sokongan lebih dua pertiga pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kerusi pula, memang setakat ini, mencatat 148 kerusi, juga dua pertiga. Kalau lihat dari segi dukungan, kita satu-satunya gabungan yang mewakili semua kaum, semua daerah, semua suku kaum di negara kita ini.
“Ini memberikan kelebihan kepada kita. Kenyataan saya lakukan ini adalah untuk kuatkan tekad kita, bekerja sebagai satu pasukan yang padu dan mantap. Ini telah kita sepakati malam ini,” ujarnya.
Astro AWANI pada 2 Februari lepas melaporkan pucuk pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) telah memberi kebenaran supaya diadakan hubungan serta perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan pembahagian kerusi di enam negeri yang akan terbabit PRN.
Pengarah Komunikasi Amanah Nasional, Khalid Abdul Samad berkata, antara perkara yang akan dibincangkan bersama adalah jumlah kerusi serta calon disenarai.
Jelasnya, sama ada ia berdasarkan bentuk Kerajaan Perpaduan dan pertandingan dua penjuru atau sebaliknya, semua itu masih belum dimuktamadkan.