PRN: Pas tagih sokongan perantau untuk kekal di Kelantan
Sinar Harian
Ogos 8, 2023 13:54 MYT
Ogos 8, 2023 13:54 MYT
KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan perantau terus menjadi kekuatan kepada parti itu untuk kekal mentadbir negeri pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.
"Dengan kepulangan perantau akan menambahkan lagi kekuatan," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Beliau memberitahu, perantau dituntut pulang mengundi kerana ia adalah tanggungjawab besar untuk masa depan negeri dan rakyat.
Ujarnya, walaupun perantau baharu pulang untuk sambutan hari raya lalu, namun beliau berharap mereka dapat kembali ke Serambi Makkah.
Menurut Mohd Amar, semua perantau diingatkan supaya mengundi Perikatan Nasional (PN) yang akan menggunakan logo Pas.
"Kalau nak undi BN-PH, tidak balik pun tidak mengapa," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut berpesan kepada pengundi tempatan untuk keluar mengundi.
Tambahnya, pada Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini ramai yang tidak keluar mengundi.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian