PRN: Pas jangan terlalu yakin dapat tawan semua kerusi DUN Terengganu - Ahmad Razif
Nur Fazlizai Ali
Mei 25, 2023 09:00 MYT
Mei 25, 2023 09:00 MYT
KUALA NERUS: Pas usah terlalu yakin dapat menawan kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata walaupun mereka berjaya memenangi kesemua kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu namun itu bukanlah jalan mudah untuk mereka mengulanginya.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu yakin rakyat akan membuat keputusan yang terbaik pada PRN nanti.
Katanya Barisan Nasional (BN) dan UMNO juga sudah bersiap sedia dan mengambil pedoman atas apa yang berlaku pada PRU14.
"Jangan hari ini pihak Pas terutamanya merasa yakin walaupun mereka dapat ambil lapan kerusi Parlimen tetapi dengan terlalu yakin, tidak semestinya mereka dapat 32 DUN ini.
"Saya yakin dan percaya bahawa apa yang pernah berlaku pada 2004 dulu akan berulang dalam PRN ini," katanya.
Sebelum ini Pas Terengganu optimis untuk menawan 10 kerusi DUN yang kini dikuasai BN menerusi PRN akan datang.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, menerusi sasaran itu juga pihaknya yakin dapat mengekalkan pentadbirannya sekali gus menambah bilangan kerusi DUN.
Pada PRU14 lalu, BN Terengganu berjaya memenangi 10 daripada 32 kerusi DUN manakala Pas pula menawan 22 kerusi.
Terdahulu enam negeri mencapai persetujuan untuk membubarkan dun masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN masing-masing.