PRN: Pas gagal rampas DUN Galas, Kota Lama satu kejutan - Ahmad
Sinar Harian
Ogos 13, 2023 12:36 MYT
Ogos 13, 2023 12:36 MYT
KOTA BHARU: Pas akan melakukan pascanilai atau post mortem bagi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN).
Menteri Besar Sementara Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau berdukacita atas keputusan itu kerana tidak dapat merampas kerusi N45 Galas selain tidak menyangka turut hilang kerusi N09 DUN Kota Lama.
Beliau juga menyifatkan kegagalan mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut adalah kejutan kepada Pas.
“Kami tidak jangka kerana menyasarkan menang di 45 kerusi DUN, namun memperoleh 43 kerusi.
“Kami akan buat post mortem atas kekalahan di dua kerusi itu,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman kemenangan Perikatan Nasional Kelantan pada PRN di Dataran Ilmu di sini pada Sabtu.
Pada PRN itu, DUN Galas dimenangi oleh calon BN, Mohd Syahbuddin Hashim juga penyandang kerusi selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mohd Syahbuddin mendapat majoriti 3,337 undi dengan 10,742 undi mengalahkan Mohd Tarmizi Abdul Rahman (Pas) dengan 7,405 undi.
Sebelum ini, DUN Galas disandang Abdul Aziz Yusoff juga dari BN selepas menang pada PRU13 dan Pilihan Raya Kecil negeri Kelantan pada 2010 akibat kematian penyandang, Che Hashim Sulaiman (Pas).
Calon Parti Rakyat Malaysia, Tan Boon Kian (126 undi) dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (85). - Sinar Harian