PRN: Pas dan Bersatu P.Pinang capai persefahaman dalam soal pembahagian kerusi
Bernama
Mac 11, 2023 06:20 MYT
Mac 11, 2023 06:20 MYT
KEPALA BATAS: Pas dan Bersatu Pulau Pinang setakat ini telah mencapai persefahaman dalam soal pembahagian 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang mempunyai lebih 50 peratus pengundi Melayu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff bagaimanapun berkata, baki 25 lagi kerusi DUN di negeri ini masih di peringkat perbincangan dengan Gerakan serta Bersatu dan ia akan dimuktamadkan sebelum pembubaran DUN Pulau Pinang.
"15 kerusi itu adalah untuk Pas dan Bersatu, berapa yang kami (Pas) akan bertanding itu kita akan umumkan nanti.
Apa yang kita bincangkan dan capai persefahaman ini juga telah diketahui pucuk pimpinan atasan, tiada masalah berhubung pembahagian kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Program Gelombang Hijau Pulau Pinang di Markas Pas Pongsu Seribu, di sini pada Sabtu malam.
Muhammad Fauzi berkata Pas juga bersedia memberi laluan kepada calon Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) untuk baki 25 lagi kerusi tersebut dan pihaknya percaya Gerakan serta Bersatu juga mempunyai cadangan mereka untuk kerusi-kerusi berkenaan.
Pas bersama Gerakan dan Bersatu juga membincangkan mengenai kerusi campuran dan juga kerusi strategik yang bakal ditumpukan dalam PRN akan datang ini.
Selain itu, katanya parti berkenaan juga telah mempunyai senarai calon yang akan bertanding pada PRN nanti dan ia merangkumi golongan muda dan tua termasuk muka baharu serta muslimat.
Katanya semua nama calon-calon Pas itu dikemukakan oleh kawasan masing-masing kepada Pas Pulau Pinang dan seterusnya keputusan akhir calon akan ditentukan Majlis Syura Ulamak Pas.
-- BERNAMA