PRN: Negeri Sembilan umum cuti peristiwa selepas keputusan esok

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 11, 2023 22:53 MYT
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu juga masih belum dibincangkan. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Cuti peristiwa di Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Sabtu hanya akan diumumkan selepas keputusan penuh diperolehi, esok.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu juga masih belum dibincangkan.
“Cuti tidak boleh umum sekarang dan saya akan umum esok, insya-Allah, selepas keputusan keluar.
“Negeri lain dah umum tidak mengapa, Negeri Sembilan insya-Allah esok selepas dapat keputusan, kita akan umum, kalau kata (ada) berita gembira dah jadi macam pengumuman pula,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berharap peratusan keluar mengundi di seluruh negeri itu adalah tinggi.
“Saya minta semua keluar mengundi esok seawal pagi dan saya harap pengundi dapat memilih masa yang sesuai untuk mereka keluar mengundi.
“Saya dilaporkan esok cuaca mungkin hujan, cuaca juga tak menentu dan saya harap semua tak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab,” tambahnya.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan Isnin ini sebagai cuti peristiwa sekiranya gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) menang dalam PRN ini, esok.
#Negeri Sembilan #PRN #cuti peristiwa #Aminuddin Harun
;