PRN Negeri Sembilan: Calon MUDA tarik diri kerana 'masalah peribadi'
Shuhada Abdul Kadir
Julai 28, 2023 19:16 MYT
Julai 28, 2023 19:16 MYT
SEREMBAN: Iswan Ishak yang sebelum ini dipertaruhkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, menarik diri.
Jawatankuasa Pilihan Raya MUDA dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan pempengaruh media sosial itu diambil atas faktor peribadi.
“Kami ingin memaklumkan bahawa saudara Iswan Ishak tidak akan bertanding di bawah Parti MUDA dalam PRN yang akan datang.
“Setelah berbincang, beliau telah mengambil keputusan untuk menarik diri atas sebab-sebab peribadi,” menurut kenyataan itu.
Iswan sebelum ini menerima kecaman teruk selepas video lamanya, di mana dia didakwa menghina orang kurang upaya (OKU), muncul semula di media sosial.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Ahmad Qusyairi Abdul Rahim yang bakal bertanding di DUN Temiang, menjadi calon tunggal MUDA di Negeri Sembilan.