PRN: 'Mustahil rakyat dapat bertahan isu air, Kelantan akan jatuh ke tangan PH' - Rafizi

Sinar Harian
Julai 31, 2023 12:35 MYT
Rafizi berkata, tidak mungkin rakyat Kelantan mampu bertahan menanggung beban berdepan masalah air dan isu pekerjaan yang tidak berkesudahan. - Gambar/ Bernama
GOMBAK: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yakin Pakatan Harapan (PH) mampu menawan Kelantan satu hari nanti.
Beliau berkata, tidak mungkin rakyat Kelantan mampu bertahan menanggung beban berdepan masalah air dan isu pekerjaan yang tidak berkesudahan.
"Satu hari nanti, kita akan menang di Kelantan. Saya yakin, kalau tidak sekarang, kita akan menang pilihan raya akan datang.
"Ini kerana mustahil rakyat dapat menanggung air 'Starbuck' (keruh) untuk lima tahun lagi.
"Mustahil rakyat Kelantan boleh tengok dan hidup susah berbanding Selangor yang mempunyai banyak peluang pekerjaan.
"Anak-anak muda Kelantan semua duduk di Selangor, mak ayah nak tengok anak-anak, kena tunggu (masa balik) pilihan raya," katanya pada Jelajah Madani DUN Sungai Tua pada Ahad.
Beliau yakin realiti tersebut akan dilihat oleh rakyat Kelantan satu hari nanti.
"Bagaimanapun, apabila Kerajaan Perpaduan ambil alih Kelantan nanti, kita ambil dalam keadaan parah dengan hutang yang teruk dan memerlukan perbelanjaan yang banyak (untuk bangunkan Kelantan).
"Kalau kita ambil sekarang, Insya-Allah saya yakin kita boleh ubah sedikit demi sedikit walaupun cara itu payah," katanya.
Ujarnya, sebab itu debat perlu dilakukan untuk memberikan pencerahan kepada rakyat.
"Mereka kata Kerajaan Perpaduan gagal menguruskan ekonomi dan tiada hala tuju ekonomi.
"Kalau betul kami gagal, bukankah cara terbaik untuk menamatkan karier politik saya, dengan berdebat dengan saya?
"Kalau rasa kamu cerdik sangat, datanglah berdebat," katanya. - Sinar Harian
#PRN #Rafizi Ramli #isu air #Kelantan
;