PRN: 'Mungkin tidak disengajakan' - Pesuruhjaya Pas N.Sembilan jawab isu profil calon PN

Ridauddin Daud
Ogos 1, 2023 16:30 MYT
Rafiei (tengah) ketika berkempen di sekitar kawasan DUN Pilah pada Selasa. -Astro AWANI
KUALA PILAH: Beberapa maklumat 'meragukan' dalam profil calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau, P Kumar adalah “kesilapan yang mungkin tidak disengajakan”.
Demikian kata Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha ketika diajukan soalan berkaitan profil calon itu yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.
Tambahnya, beliau mengakui terdapat beberapa maklumat meragukan dalam profil calon tersebut dan semua informasi itu sedang disemak.
Katanya lagi, parti juga sedang menjalankan siasatan dan bertemu dengan calon dari Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) itu sendiri untuk mendapatkan pengesahan.
“Perkara begini berlaku kesilapan. Jadi rakyat juga harus sedar ini hanya satu kesilapan yang mungkin tidak disengajakan.
“Saya tidak nampak hanya satu isu ini boleh menjejaskan keseluruhan calon atau pun berlaku satu kesilapan, melibatkan hanya satu calon, kebetulan calon DHPP pula.
“Saya percaya tidak akan beri kesan yang besar kepada parti Perikatan Nasional dan khususnya Pas di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa berkempen di sekitar kawasan DUN Pilah pada Selasa.
Dalam pada itu, calon PN di DUN Pilah itu berkata, sepatutnya proses berkongsi profil calon perlu melalui saringan, pertama kepada ‘war room’ dan kemudian kepada pasukan penerangan.
“Dari sana, akan ada berlaku proses penyaringan, semakan, dan setelah disahkan, barulah dihantar ke pasukan penerangan untuk kita sebarkan profil calon.
“Saya fikir semua calon lalui proses sama. Apa yang berlaku di Bahau ini, saya difahamkan profil calon terus pergi kepada Facebook calon dan disebarkan tanpa melalui war room atau penerangan,” ujarnya.
Sebelum ini, profil Kumar tular di media sosial berhubung maklumat berkaitan pendidikan dan jawatannya sebagai "Pengerusi Pusat Tahfiz".
Astro AWANI cuba mendapatkan komen beliau, namun sidang media yang dijadualkan pada Selasa dibatalkan dengan tiada alasan khusus diberikan.
#PN #Rafiei Mustapha #PRN Negeri Sembilan #Pengerusi Pusat Tahfiz #calon DUN Bahau P Kumar
;