PRN: MUDA tanding solo sia-sia jika tidak berjaya tubuh kerajaan - Tun Mahathir

Fareez Azman
Jun 28, 2023 15:40 MYT
Dr Mahathir berkata keputusan MUDA untuk bertanding secara solo dalam PRN akan datang tidak akan mempunyai erti jika parti itu tidak dapat menubuhkan kerajaan.- Foto Sinar Harian
SEPANG: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memilih untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang sebagai sia-sia.
Ini kerana katanya, keputusan MUDA tidak akan mempunyai erti jika parti itu tidak dapat menubuhkan kerajaan.
"Kalau MUDA bergerak solo dan bertanding untuk PRN di beberapa kerusi, apa boleh mereka buat dengan kerusi itu. Mereka perlu tubuhkan kerajaan, itu matlamat kita untuk tubuhkan kerajaan.
"Kita letak cukup calon dan menang, kita boleh tubuh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Sepang pada Rabu.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini menegaskan niat parti itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tidak dilayan.
Tegas Ahli Parlimen Muar itu, ia membawa kepada keputusan MUDA untuk bergerak solo dalam PRN di enam negeri akan datang.
Sementara itu, mengulas mengenai UMNO yang akan menganjurkan Kongres Ekonomi Melayu, secara sinis Dr Mahathir turut mempersoal tindakan parti itu.
"Dia (UMNO) sekarang baru teringat nak buat kongres, selama ini mereka teringat nak buat duit dan nak dapat sokongan.
"Sebab itu dalam pilihan raya mereka perlu duit banyak nak beli bendera, sepanduk dan nak sogok pengundi.
"Kalau mereka berjaya nak tarik sokongan orang Melayu dan jadi kerajaan sekali lagi duit kita akan hilang," dakwanya lagi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan, Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan Pemuda dan Puteri UMNO itu akan lebih bermakna berbanding Proklamasi Orang Melayu (POM) yang diterajui Dr Mahathir.
Ujarnya, Dr Mahathir sudah diberi peluang sebelum ini, namun tidak memanfaatkan sepenuhnya untuk membina ekonomi Melayu.
Kongres Ekonomi Melayu merupakan antara tujuh agenda yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.
#PRN #muda #Tun Dr Mahathir Mohamad #kerajaan
;