PRN: MUDA lebih takut hilang prinsip berbanding deposit

Sinar Harian
Julai 31, 2023 08:00 MYT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pihaknya tidak takut kehilangan wang deposit, sebaliknya lebih bimbang kehilangan prinsip dan maruah diri sekiranya menormalisasikan rasuah. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pihaknya tidak takut kehilangan wang deposit, sebaliknya lebih bimbang kehilangan prinsip dan maruah diri sekiranya menormalisasikan rasuah.
Beliau mendakwa, tindakan membenarkan sogokan wang dalam pilihan raya negeri (PRN) adalah perbuatan yang teruk.
“Pemberian bantuan adalah tidak salah tetapi mengapa ia bersyarat kepada sokongan PH-BN dan jumlah serta perincian berkait rapat dengan jumlah sokongan.
“Mengapa bantuan hanya diumumkan di tengah-tengah musim PRN, itulah sebabnya ia salah,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa memerli parti Muda bakal kehilangan deposit dan kalah teruk pada PRN.
Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu mendakwa Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberi sogokan dalam satu majlis dengan mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk pasukan bermotosikal di negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq turut meminta supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki agar tidak menormalisasikan rasuah.
“SPRM adalah benteng rakyat mencegah rasuah. Saya tahu anda (Azam) tahu apa yang berlaku jelas salah,” katanya. - Sinar Harian
#Parti MUDA #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #PRN #Rasuah
;