PRN: 'Monang bosar, 36-0' dilaungkan PH-BN di Negeri Sembilan
Ridauddin Daud
Julai 27, 2023 22:07 MYT
Julai 27, 2023 22:07 MYT
PORT DICKSON: Jentera Perpaduan Negeri Sembilan dilancarkan pada Khamis malam, isyarat kesediaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Dalam ucapan beberapa pemimpin kedua-dua parti di hadapan ribuan penyokong, mereka optimis dengan peluang gabungan itu untuk menawan Negeri Sembilan.
Bahkan, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut melaungkan keyakinan untuk PH-BN menang semua kerusi di negeri tersebut.
Nada sama turut disuarakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut yakin dengan melaungkan "Monang" dan kemudian penyokong menyambutnya dengan "Bosar".
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu kekalkan rekod sedia ada iaitu tiada langsung wakil Perikatan Nasional (PN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Negeri Sembilan.
"Parlimen tiada satupun wakil dari PN. Dewan Negeri tiada satu pun wakil PN. Kekalkan rekod ini.
"Kita beri mesej jelas kepada Perdana Menteri bahawa Negeri Sembilan adalah deposit tetap kepada Kerajaan Madani.
"Ini akan jadi rangsangan untuk Kerajaan Pusat membantu Negeri Sembilan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di Port Dickson pada Khamis.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.