PRN: Mohamed Azmin dicabar lawan Amirudin
Sinar Harian
Julai 13, 2023 09:30 MYT
Julai 13, 2023 09:30 MYT
KUALA SELANGOR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicabar bertanding di kerusi yang ditandingi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, Mohamed Azmin jika bersedia untuk menjadi Menteri Besar Selangor sewajarnya menunjukkan keberanian untuk bertanding menentang Amirudin.
"Di mana sahaja Amirudin bertanding, maka (Mohamed) Azmin mesti turun berlawan dengan Menteri Besar.
"Saya akan bantu (Amirudin) untuk memastikan kita berjaya membenam (Mohamed Azmin) kalau bertanding di DUN (Dewan Undangan Negeri) (bawah Parlimen) Gombak atau jika beliau bertanding di Hulu Kelang, kita pastikan beliau tewas di sana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Jelajah Kita Selangor Arus Merah Kuning Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di kawasan tapak parkir kereta di sini pada Rabu malam.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Amirudin mewakili Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti 12,729 undi.
Amirudin meraih 72,267 undi, manakala Mohamed Azmin yang juga penyandang kerusi itu tiga penggal lalu bertanding atas tiket PN mendapat 59,538 undi.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, pembangkang ketika ini dilihat berkempen dan memainkan sentimen bangsa, agama dan institusi diraja (3R).
"Kamu boleh cakap macam-macam, tetapi kita serah kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," jelas beliau.
Justeru katanya, rakyat seharusnya menghukum pembangkang dengan memberi undi kepada PH pada 12 Ogos depan.
"Hanya satu sahaja cara iaitu rakyat bersama-sama memberi signal jelas untuk menolak PN dan memilih PH dalam PRN enam negeri ini," tambahnya. - Sinar Harian