GEORGE TOWN: Parti MIC dan MCA Pulau Pinang telah meminta beberapa kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.



Beliau berkata, permintaan itu dibuat dalam mesyuarat antara PH dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang pada 20 Mei lalu.

Menurutnya, bagaimanapun rundingan mengenai kerusi masih dijalankan dan keputusan muktamad belum dibuat.

"Pada mesyuarat Pusat dan negeri, mereka (MCA dan MIC) mula membuat permintaan kerusi. Itu lah tujuan rundingan, kita perlu dengar apa 'out come' dan pandangan masing-masing.

"Rundingan masih berjalan dan orang yang bertanggungjawab akan umum keputusan setelah rundingan selesai. Pada peringkat ini apa yang boleh dikatakan cuma mungkin cadangan mana-mana parti.

"Cuma kali ini, mesyuarat kali kedua baru-baru ini (Sabtu lalu) dihadiri oleh UMNO, MIC dan MCA. Mesyuarat rundingan seterusnya akan diadakan dalam minggu ini juga, iaitu di peringkat negeri dan Pusat," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Khamis.

Kata beliau, semua butiran mesyuarat akan dilaporkan kepada Pusat walaupun keputusan belum dibuat.

"Semua dapatan negeri akan dilaporkan ke Pusat, sama ada sudah selesai atau masih belum mencapai persetujuan. Semua kita akan laporkan. Selepas itu, kita akan tunggu keputusan atau arahan seterusnya daripada Pusat.

"Seperti yang kita tahu, rundingan adalah satu proses dan ia masih berlangsung. Kita diminta berunding di peringkat negeri sebelum melaporkan untuk pertimbangan Pusat.

"Rundingan ini membabitkan dua gabungan iaitu PH dan gabungan BN yang mana pegangan PH sudah pun diumumkan dengan prinsip agihan kerusi berdasarkan kepada paramerter ditetapkan termasuk kerusi dimenangi kekal dengan parti yang menang.

"Sebaliknya BN ada pandangan mereka, oleh itu, berdasarkan ketetapan dua gabungan berlainan maka kita cuba membawa kedua-dua (gabungan) untuk mencapai satu persetujuan. Masing-masing ada pandangan," katanya.

Ditanya mengenai pertindihan kerusi, beliau yang juga Ketua Menteri berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.

"Ada kerusi yang boleh diputuskan di peringkat negeri, cuma jika ada kerusi-kerusi yang masih perlu rundingan, itu saya boleh kata masih proses. Ini kerana, dalam satu mesyuarat mungkin tak capai semua keputusan.

"Mungkin ada orang yang akan setuju dan ada yang masih tak setuju," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir mengesahkan perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara UMNO dan PH Pulau Pinang belum dimuktamadkan walaupun perjumpaan telah diadakan.

Perjumpaan kedua di Pejabat PH Pulau Pinang itu diadakan pada 20 Mei lalu.

PH dan UMNO Pulau Pinang sebelum ini juga mencapai persetujuan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada PRN akan datang.

Ketetapan itu dicapai dalam pertemuan rasmi kali pertama yang diadakan antara dua gabungan parti itu di negeri ini pada 2 Mei lalu.

Tiga minggu lalu, Kon Yeow mengumumkan bahawa BN akan diberi peluang untuk mempertahankan dua kerusi penyandangnya di Pulau Pinang pada PRN ini.

Kata beliau, keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat yang diadakan pada Rabu dua minggu lalu memutuskan bahawa semua kerusi akan kembali kepada parti penyandang masing-masing.

Beliau menambah, berdasarkan prinsip yang dipersetujui iaitu semua kerusi akan kembali kepada parti penyandang, PH tidak akan meminta kerusi-kerusi berkenaan daripada UMNO atau BN.  -- Sinar Harian